Pantang larang
merupakan kepercayaan masyarakat melayu zaman lampauberkaitan dengan adat dan
budaya warisan nenek moyang. Pantang larang adalah sesuatu perkara yang
menyekat kita dari melakukan sesuatu kerana ada keburukkan disebaliknya. Ia selalunya
diamalkan oleh orang-orang tua dikalangan masyarakat Melayu, Cina dan India.
Kebanyakan pantang larang diturunkan secara lisan turun kemurun. Pentingnya
pantang larang sebagai adat yang perlu dipatuhi jelas diungkapkan melalui
pepatah “biar mati anak, jangan mati adat.”
Pantang larang yang
dikenakan oleh orang tua-tua bertujuan untuk mendidik masyarakat khususnya
generasi muda agar dapat membawa kepada penerapan nilai-nilai baik yang boleh
diamalkan di dalam kehidupan. Sebahagian pantang larang sudah menjadi amalan
atau prinsip dalam kehidupan hari ini.
Segala pantang larang
sebenarnya diperturunkan untuk kebaikan kaum itu sendiri seperti pantang larang
semasa perkahwinan, perayaan dan juga semasa mengandung. Sebenarnya pantang
larang yang diturunkan oleh nenek moyang mementingkan penjagaan kesihatan diri
agar seseorang sentiasa sihat dan cergas.
Walaupun kaum Melayu,
kaum Cina dan kaum India mempunyai pantang larang semasa perkahwinan, perayaan
dan juga mengandung tetapi pantang larang yang diamalkan oleh kaum-kaum adalah
berbeza. Inilah menunjukkan Malaysia terdiri daripada kaum majmuk.
PANTANG LARANG
PERKAHWINAN KAUM MELAYU
Apabila telah
ditetapkan hari perkahwinan bermakna bermulalah pantang larang buat bakal
mempelai itu. Apa yang ditetapkan harus diikuti untuk kebaikan diri mereka. Ia
bukanlah menjadi kewajipan tetapi sudah menjadi satu budaya dalam masyarakat
melayu. Walaupun bakal pengantin zaman sekarang jarang disebutkan perkara ini
kepada mereka, tidak rugi jika apa-apa pantang larang yg difikirkan sesuai
masih boleh diikuti.
Pantang larang
bermula dengan jangan keluar dengan pasangan selama 40 hari sebelum diijabkabul
untuk mengelakkan tohmahan masyarakat. Selain itu ia bertujuan untuk mengawal
nafsu. Ia juga untuk menimbulkan perasaan rindu dendam. Perasaan yang timbul
akan membuatkan wajah pengantin lebih berseri. Pasangan tersebut juga tidak
dirumah orang takut terkena ilmu. Ia juga untuk menjaga nama baik keluarga.
Selain itu, pasangan
dilarang bebas keluar kemana-mana kerana takut disantau oleh mereka yang
mempunyai niat tidak baik. Jangan makan nasi dengan gulai berkuah beberapa
bulan sebelum naik pelbagai mengelakkan perut buncit. Pengantin juga dilarang
bercermin terutama selepas maghrib ke atas bagi mengelakkan diri dari perkara
sihir. Pasangan juga dilarang membuang air kecil dan air besar serentak di
dalam air contohnya dalam sungai, kerana ia boleh melemahkan organ seks.
Pasangan perlu
elakkan diri daripada terkena cahaya matahari kerana dikhuatiri hitam dan tidak
berseri pada hari perkahwinan. Mereka juga elakkan keluar rumah tanpa rujuan
kerana angan-angan yang tinggi menjelang perkahwinan dikhuatiri bakal pengantin
mengalami kemalangan jika berada diluar.
PANTANG LARANG HARI
RAYA AIDILFITRI DAN RAYA AIDILADHA
Hari Raya Aidilfitri
1. Dilarang membazir
dan berbelanja lebih-lebihan untuk menyambutnya. Selaras dengan tuntutan agama Islam itu sendiri.
2. Memakai pakaian
bersih, cantik dan juga wangi-wangian.
3. Umat Islam yang
kehilangan saudara mara akan menziarahi pusara mereka dan menghadiahkan surah
Al-Fatihah atau bacaan surah Yasin.
4. Berkunjung ke
rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka bermaaf-maafan dan melupakan kisah
silam yang lampau.
5. Memasang pelita di
waktu malam untuk menyambut malam tujuh likur.
6. Pemberian wang
kepada kanak-kanak oleh orang dewasa.
7. Mengadakan rumah
terbuka ataupun berkunjung ke rumah terbuka yang diadakan.
8. Membuat dan
menghidangkan juadah wajib seperti ketupat,lemang,rendang dan lain-lain lagi.
Hari Raya Aidiladha
1. Melakukan ibadah
korban sebelum dibahagi-bahagikan kepada kafir miskin dan juga orang ramai.
2. Mengenakan pakaian
bersih,cantik dan memakai wangi-wangian.
3. Melawati
kubur-kubur sanak saudara dan sahabat handai yang telah pergi.
4. Disambut dengan
adab kunjung mengunjung dan rumah terbuka.
PANTANG LARANG
MENGANDUNG ORANG MELAYU
Masyarakat melayu
terkenal dengan pelbagai pantang larangnya. Begitu juga untuk mereka yang
mengandung. Antara pantang larangnya ialah mereka yang mengandung di larang
untuk mencaci atau mengumpat. Dilarang untuk memaku atau memahat dan menggali
lubang serta memukul binatang. Mereka juga dilarang untuk keluar rumah pada
waktu petang atau senja serta dilarang untuk duduk di anak tangga dan juga di
larang melihat gerhana bulan ataupun matahari.Terdapat juga pantang larang
untuk suami ibu yang mengandung. Antaranya ialah suami di larang meniup
sebarang bunyi bunyian, menyembelih, memburu dan memukul binatang. Semua
pantang larang ini adalah untuk keselamatan anak yang di kandung.
Kaum Cina
Secara
ringkasnya, orang Cina di Malaysia ialah orang Cina luar negara yang menjadi
warganegara atau penduduk tetap di Malaysia. Kebanyakan mereka berketurunan
pendatang dari China yang tiba di Malaysia sekitar abad ke-15 hingga
pertengahan abad ke-20. Di Malaysia, secara lazimnya kaum ini dirujuk sebagai
orang Cina dalam semua bahasa.
Masyarakat
Cina di Malaysia mengekalkan identiti komuniti yang amat ketara bezanya dengan
kaum lain serta jarang berkahwin campur dengan orang Melayu atas sebab agama
dan budaya. Hal ini adalah kerana kebanyakan orang Melayu beragama Islam. Di
bawah undang-undang Malaysia, perkahwinan sedemikian memerlukan pihak bukan
beragama Islam untuk memeluk agama pasangannya. Kebanyakan orang Cina Malaysia
menganggap "kecinaan" mereka sebagai satu identiti etnik, budaya dan
politik.
Masyarakat
Cina mempunyai adat resam atau pantang larang yang agak unik. Kehidupan
seharian mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling
menyebabkan mereka banyak bergantung kepada nasib. Dalam pelbagai perkara,
tukang tilik mempunyai peranan yang besar sebagai pakar rujuk dalam hal-hal
kelahiran, perkahwinan dan kematian.
1) Pantang
Larang Semasa Tahun Baru Cina
Perayaan
kaum Cina agak sama dengan perayaan kaum Melayu. Pada hari raya pelbagai
makanan yang disediakan dan dihidangkan kepada tetamu yang akan datang. Selain
itu, saudara mara akan datang ke rumah untuk meraikan hari perayaan Tahun Baru
Cina. Pada hari perayaan, bagi pasangan
yang sudah berkahwin perlu memberikan angpau kepada kanak-kanak dan
mereka yang belum berkahwin. Malah, sekiranya individu berkenaan sudah lanjut
usia, tetapi masih belum berkahwin, dia tetap akan mendapat pemberian angpau.
Pemberian angpau adalah untuk melambangkan kegembiraan, selain merupakan
semacam restu untuk kehidupan makmur serta untung nasib yang baik sepanjang
tahun.
Pada
tahun baru juga terdapat buah yang sinonim dengan orang Cina iaitu limau. Adalah
menjadi amalan baik untuk membawa dua atau empat biji limau mandarin untuk
diberikan kepada tuan rumah oleh tetamu semasa menziarahi pada perayaan tahun
baru. Pemberian limau itu diibaratkan sebagai pemberian emas. Hal ini kerana
dalam bahasa sukuan Cina kantonis, nama atau sebutan untuk limau menyerupai
nama atau sebutan untuk emas.
Pantang
larang yang amat diutamakan semasa perayaan bagi kaum cina ialah mereka dilarang
menyapu rumah semasa hari raya kerana menganggap ia boleh membuang segala
keuntungan atau “ong” yang ada. Sebagai contoh, jika mereka menyapu, tuah tidak
akan datang pada tahun tersebut. Mereka juga dilarang mencuci rambut semasa
hari raya
Selain
itu, masyarakat Cina turut percaya bahawa mereka akan ditimpa malang jika
pinggan mangkuk yang digunakan pada hari sambutan itu telah pecah. Oleh itu,
mereka akan pastikan sentiasa berhati-hati ketika melakukan kerja rumah.
Di
samping itu, semasa perayaan kaum Cina mereka digalakkan memakai baju yang
terang seperti merah kerana warna merah dikatakan membawa tuah kepada mereka
dan mengelakkan pemakaian baju warna hitam kerana beranggapan ketika menyambut
sesuatu perayaan, perlu kelihatan ceria.Warna hitam akan membawa buruk bagi
orang cina.
Acara
makan beramai-ramai pada waktu malam sehari sebelum hari Tahun Baru Cina paling dinantikan kerana ia dapat
memperlihatkan perpaduan dan keakraban sesebuah keluarga yang dapat berkumpul bersama-sama
bagi merayakannya.Biasanya bagi orang tua,mereka rasa bahawa walau sesibuk manapun individu terbabit
dengan pelajaran, kerjaya, perniagaan ataupun urusan seharian mereka, sambutan
acara ini tidak boleh dilepaskan.
Perkataan
yang tidak sopan dan bermakna buruk tidak digalak sempena perayaan Tahun Baru
Cina.Antaranya ialah seperti perkataan mati,hantu ataupun cakap kotor amat
dielakkan pada hari raya. Kaum cina mempercayai bahawa ini akan membawa buruk
sepanjang tahun tersebut.
2) Pantang
Larang Semasa Perkahwinan Kaum Cina
Sebelum
tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga
bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun
selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang
lain sedang berkabung kesedihan.
Semasa hari perkahwinan, masyarakat cina pada masa dahulu memakai pakaian
pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian
setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Pada hari perkahwinan tersebut
pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Baju pengantin sebaik-baiknya
berwarna putih, merah atau kuning. Warna hitam, biru dan kelabu adalah dilarang
kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan. Hiasan
dalam majlis perkhawinan pula tidak digalakkan untuk menggunakan warna putih,
biru tua, hitam dan hijau. Manakala susunan dalam bilik tidur bakal pengantin
baru iaitu katil, meja dan almari perlu diletakkan dalam kedudukan yang biasa
dan bukannya sudut bilik.
Selain
itu, wanita yang mengandung dan orang yang baru kematian saudara-mara tidak
boleh terlibat dengan majlis perkahwinan atau menyentuh pakaian pasangan
pengantin dan sebagainya di rumah baru pasangan tersebut untuk mengelakkan sebarang perkara buruk
daripada berlaku.
Bagi
adat dan pantang larang selepas berkahwin pula untuk menggambarkan pengantin
berkenaan diasuh dengan baik dan layak untuk menjadi isteri kepada pengantin
lelaki, sehari selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan perlu bangun lebih
awal dan menyediakan makanan untuk keluarga pengantin lelaki. Isteri tidak dibenarkan pulang ke rumahnya
sendiri dan harus menetap di rumah suaminya bersama keluarga suaminya. Tiga hari
selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan akan pulang melawat keluarganya
bersama-sama suami.
3) Pantang
Larang Kaum Cina Semasa Mengandung
Pelbagai
bentuk adat resam dan pantang larang yang diamalkan oleh wanita masyarakat cina
semasa mengandung dan juga selepas bersalin untuk memastikan bayi yang bakal
lahir itu tidak ditimpa kejadian buruk seperti keguguran, kecacatan atau
kematian. Wanita-wanita masyarakat cina yang mengandung sentiasa diberikan
kawalan ketat dalam setiap tindak-tanduk dan kegiatan seharian mereka. Dalam
masyarakat cina, ibu mertua bertanggungjawab menjaga wanita mengandung dan
bukannya suami. Masyarakat cina amat
mementingkan anak lelaki. Ini kerana anak lelaki boleh melanjutkan keturunan
mereka melalui pewarisan nama nenek moyang mereka. Anak perempuan hanya menjadi milik ibubapa buat
sementara waktu sahaja dan apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik
keluarga suaminya.
Antara pantang larang yang perlu
dipatuhi semasa mengandung ialah tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti
memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan. Menyidai baju juga dilarang kerana
kononnya akan mengakibatkan keguguran bayi. Wanita hamil juga perlu
mengawal tingkah laku seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang
memukul binatang. Ini bertujuan menghindari bayi dari terkena badi. Mereka juga
digalakkan bekerja supaya mudah bersalin. Sebarang konflik atau perselisihan
perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan. Di samping
itu, wanita hamil tidak digalakkan terlalu
kerap menggosok perut mereka kerana bayi yang lahir kelak akan mempunyai
sifat yang manja.
Dari segi penjagaan makanan, wanita yang hamil
dilarang sama sekali makan makanan yang tajam seperti nenas dan mangga serta
tidak digalakkan makan banyak kerana ditakuti bayi akan menjadi besar dan ini
akan membuatkan ibu sukar untuk bersalin. Selain itu wanita hamil juga dilarang makan makanan yang bersifat
sejuk seperti aiskrim dan tembikai, hal ini kemungkinan membawa kepada masalah
keguguran bayi. Makan daging ayam jantan juga dilarang kerana dipercayai bayi
akan menangis pada tengah malam.
Seterusnya, wanita hamil dilarang menghadiri upacara perkahwinan
kerana ianya akan mempengaruhi emosi ibu, dan mempengaruhi bayi secara tidak
langsung.
4)
Pantang Larang Kaum Cina Semasa Kematian
Terdapat beberapa
pantang larang yang perlu dipatuhi berhubung dengan kematian orang Cina. Di
antaranya ialah pakaian sewaktu pengebumian
ialah berwarna putih, hitam atau kelabu. Warna lain tidak digalakkan apatah
lagi warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan keluarganya. Baju yang
berbunga juga dilarang dipakai semasa kematian. Manakala si mati
mestilah dipakaikan dengan pakaian yang cantik
dan tidak boleh dipakaikan pakaian berwarna merah.
Lazimnya pakaian tersebut adalah pakaian yang dipakai ketika hari perkahwinan.
Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat cina menyimpan pakaian perkahwinan
untuk dipakai sewaktu meninggal dunia. Si mati turut dipakaikan dengan aksesori
yang lain terutamanya wanita.
Sementara itu, ahli
keluarga tidak boleh memakai barang kemas semasa kematian. Seterusnya, semua
cermin dalam rumah perlu ditutup dengan kain atau kertas. Semasa upacara
berlangsung. kucing dilarang mendekati keranda dan si mati. Perarakan perlu
dielakkan daripada melalui rumah yang melangsungkan perkahwinan. Selain itu,
ahli keluarga tidak boleh menyambut Tahun Baru Cina, pesta dan keramaian
selepas upacara pengebumian dalam masa tiga tahun. Tarian singa dan pembakaran
mercun juga tidak dibenarkan.
Seterusnya,
tangisan mengungkit keburukan si mati dilarang sama sekali. Jika ini berlaku,
roh si mati tidak akan tenteram dan si mati akan terseksa. Selepas pengebumian,
orang Cina akan mandi dengan air yang dicampur daun limau bali untuk menolak
bala.
Kaum India
Masyarakat
India tidak terkecuali dari mengamalkan pantang larang dalam kehidupan mereka.
Pantang larang adalah sesuatu perkara yang menyekat kita dari melakukan sesuatu
kerana terdapat keburukan disebaliknya. Ia selalunya diamalkan oleh orang-orang
tua dikalangan masyarakat melayu, cina dan juga india. Kebanyakan pantang
larang diturunkan secara lisan sejak turun temurun. Ramai yang berpendapat
pantang larang yang dikenakan oleh orang tua-tua bertujuan untuk mendidik
masyarakat khususnya generasi muda agar dapat membawa kepada penerapan
nilai-nilai murni yang boleh diamalkan dalam kehidupan.
1) Pantang
Larang Semasa Deepavali
Hari
Deepavali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut agama Hindu di
seluruh dunia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan “Dipa” yang
bererti cahaya dan perkataan “Gavali” yang bererti barisan. Perayaan ini
disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan
Oktober dan November). Perayaan ini juga dikenali sebagai pesta cahaya. Cahaya
bermaksud ‘harapan’, ‘kemenangan’ dan ‘kebahagian’.
Salah
satu pantang larang yang masih diamalkan oleh penganut agama hindu semasa
menyambut Deepavali sehingga hari ini adalah amalan berkabung bagi saudara yang
telah meninggal dunia. Semua ahli keluarga terdekat yang telah meninggal dunia
dilarang menyambut perayaan Deepavali selama setahun bagi menghormati sanak
saudara yang telah meninggal dunia. Namun begitu mereka masih dibenarkan untuk
melawat ke rumah rakan-rakan seagama.
Selain
itu, tidak boleh memakan manisan yang dibuat selagi tidak mendapat restu
daripada tuhan. Pada pagi sambutan Deepavali, masakan dan beberapa jenis
manisan akan dipersembahkan semasa bersembahyang di rumah dengan tujuan untuk
mendapat restu daripada Tuhan. Selepas bersembahyang barulah hidangan manisan
dan juga makanan istimewa lain yang disediakan boleh dinikmati.
Pantang
larang yang seterusnya adalah berkaitan dengan warna pakaian yang dipakai
semasa menyambut Deepavali. Pakaian yang dipakai mestilah warna yang garang
seperti merah, biru dan oren. Mereka dilarang memakai pakaian yang berwarna
hitam atau putih kerana ia bermaksud kesedihan.
2) Pantang
Larang Semasa Perkahwinan Kaum India
Perkahwinan
kaum india di malaysia diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu tamil
tirumanam, eliyat tirumanam dan vaitiikat tirumanam . Terdapat banyak adat dan
pantang larang perlu diikut oleh kaum india semasa perkahwinan. Pantang larang
semasa merisik adalah bakal pasangan akan saling membalas kunjungan ketika
merisik. Tetapi ketika rombongan bakal pengantin perempuan, bakal pengantin
perempuan dilarang ikut serta kerana dianggap tidak sopan.
Untuk
mengelakkan dari keadaan buruk, maka biasanya perkahwinan dilakukan pada waktu
tengah malam atau waktu matahari akan naik. Sebelum majlis perkahwinan
berlangsung, kad jemputan perlu disediakan dan dibuat berdasarkan almanak hindu
tanpa kesilapan, jika terdapat kesilapan bermakna perkahwinan tersebut tidak dapat dijalankan dengan lancar .
Jika
jamuan perkahwinan dilakukan di kuil ,maka hanya sayur-sayuran boleh dihidangkan
kepada para tetamu dan makanan lain tidak boleh dihidangkan terutamanya daging
lembu,kerana agama hindu melarang makan daging lembu.
Dalam
perkahwinan kaum india, pokok pisang disimbolkan atas tujuan menolak bala.
Untuk mengambil pokok pisang ini, terdapat pantang larang yang perlu diikuti
iaitu semua orang boleh mengambilnya kecuali pengantin lelaki kerana dikhuatiri
akan mendatangkan nasib yang kurang baik untuk pasangan itu pada masa akan
datang. Pokok pisang yang dihias menjadi gerbang tidak boleh dibuang sesuka
hati kerana dianggap suci ketika majlis. Pokok itu akan dibiarkan selama
seminggu sebelum dibuang keseluruhannya ke dalam sungai.
3) Pantang
Larang Kaum India Semasa Mengandung
Bagi
masyarakat India,terdapat beberapa pantang larang yang perlu diamalkan oleh
seorang ibu yang mengandung antaranya dilarang keluar rumah berseorangan pada
waktu malam kerana adanya kepercayaan bahawa kuasa-kuasa jahat (makhluk halus)
lebih aktif dan kemungkinan akan membawa angkara atau padah kepada ibu dan kandungannya.
Seterusnya dilarang tidur pada waktu siang atau tidur berlebihan. Dia juga
tidak seharusnya berjaga hingga ke larut malam. Ini adalah untuk menjaga
kecerdasan bayi dan ibu tersebut.
Selain
itu, ibu mengandung dilarang melakukan perbuatan-perbuatan buruk seperti
mengumpat, membuat fitnah, bergaduh, menyembelih binatang dan sebagainya.
Perbuatan tersebut dipercayai membawa dosa dan mendedahkan seseorang ibu kepada
kuasa-kuasa jahat dan seterusnya akan mempengaruhi kelakuan serta pemikiran
anak yang bakal lahir.
Bagi
suami pula adalah dilarang untuk memukul atau menyakiti isterinya yang sedang
mengandung. Mereka juga dilarang menyembelih atau membunuh binatang serta
menebang pokok khasnya pokok pisang.
Pada
tempoh hari yang pertama kelahiran, saudara mara dan jiran tidak digalakkan
melawat ke rumah bayi yang baru dilahirkan kerana takut-takut mengganggu bayi
yang baru lahir dan menyebabkan dia terkejut.
Selama
16 hari selepas kelahiran bayi, ahli keluarga tidak boleh melakukan sebarang
upacara agama. Pada hari ke 16 kelahiran, upacara penting akan diadakan untuk
menamakan anak yang dilahirkan. Seorang ketua agama akan dirujuk untuk mencari
nama bertuah mengikuti aksara bintangnya.
Dalam
tempoh 2 bulan selepas bersalin, si ibu perlu menghindarkan diri daripada
melakukan kerja-kerja yang berat.Masyarakat India mengamalkan tempoh berpantang
selama 60 hari. Semasa berpantang, ibu mengamalkan minum arak dan mandi rebusan
daun-daun tertentu.
4)
Pantang Larang Kaum India Semasa Kematian
Antara pantang larang masyarakat india semasa
kematian ialah altar/tempat sembahyang hendaklah ditutup dengan kain putih.
Selain itu, tiada
majlis ataupun perayaan yang disambut oleh ahli keluarga si mati. Semasa
upacara dijalankan ahli keluarga perlu mengelilingi mayat sebanyak 3 kali lawan
arah jam sebagai tanda penghormatan. Wanita mengandung atau bakal pengantin
dilarang menghadiri upacara pengebumian. Bagi lelaki yang sudah meninggal dunia
akan dipakaikan dhoti manakala wanita akan dipakaikan sari perkahwinan atau
mayat tersebut dipakaikan pakaian kegemaran. Seterusnya, abu mayat tersebut
mesti dilepaskan ke sungai atau laut terutamanya di tempat suci seperti
Rameshwaran dan Kaasi. Tetamu yang hadir mestilah membasuh kaki sebelum masuk
ke rumah dan selepas upacara pengebumian hendaklah mandi apabila pulang ke
rumah.
Secara kesimpulannya,Walaupun Negara kita
terdiri daripada berbilang kaum, tetapi pantang larang yang diamalkan oleh kaum
Melayu, Cina dan India adalah untuk satu tujuan iaitu untuk kebaikan sendiri.
Ini bermaksud, pantang larang perlu dipatuhi semasa perkahwinan, perayaan, dan
juga semasa hamil untuk mengelakkan sesuatu yang malang berlaku.
1 comments:
Post a Comment